Followers

24 Apr 2011

Bakal Suami Bukan Islam - buleh kah?

Soalan:

SAYA berusia 21 tahun dan sedang menuntut di sebuah IPTA tempatan. Baru-baru ini, sepupu saya melangsungkan perkahwinan dengan seorang doktor.

Ibu berasa begitu tercabar dan meminta saya mencari calon suami yang mempunyai kedudukan. Namun, mungkin kerana kuatnya doa seorang ibu, tahun lalu saya dipertemukan dengan seorang doktor.

Untuk pengetahuan Dr, lelaki itu seorang warga asing penganut agama kristian yang kuat. Pada mulanya ibu menentang hubungan berkenaan kerana faktor agama, namun melihat kesungguhan kami, ibu mula merestui asalkan dia memeluk Islam.
Saya sebenarnya masih merahsiakan identitinya yang bukan warganegara Malaysia. Jika ibu mengetahui hal berkenaan pasti dia menolak sama sekali.

Sebelum ini, sudah dua kali saya memiliki teman lelaki, tetapi kerana tidak mendapat restu ibu, saya terpaksa memutuskannya. Untuk kali ketiga ini, saya harapkan hubungan kami akan kekal berpanjangan.


Apakah tindakan yang perlu dilakukan bagi memperkenal­kan Islam kepada teman lelaki saya seterusnya menambat hatinya memeluk Islam?




Jawapan:


ISLAM adalah agama yang benar dan berbentuk dakwah. Islam meletakkan tanggungjawab dakwah kepada umatnya. Ini penting dalam menyebarkan kebenaran dan memandu kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.

Hasrat anda untuk memperkenalkan Islam kepada orang lain sangat bertepatan dengan ajaran Islam. Bagaimanapun, Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk memeluk Islam.

Apa yang penting ialah memperkenalkan dasar pokok Islam, iaitu sistem kepercayaan dan syariah. Penerimaan kepada syahadah sangat penting dalam Islam.

Memandangkan tujuan anda berdakwah supaya calon suami tertambat hati kepada Islam ia tentu lebih sukar kecuali dia sendiri mempunyai minda yang terbuka sehingga dapat menerima Islam.

Anda perlu menerangkan kepadanya bahawa syariah Islam tidak membenarkan perkahwinan campur antara agama lebih-lebih lagi antara wanita Islam dengan lelaki bukan Islam.

Ini bertepatan dengan intipati ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita musyrik sebelum mereka beriman dan sesungguhnya seorang hamba wanita yang beriman itu lebih baik daripada wanita musyrik, sekalipun ia menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan wanita Islam) dengan lelaki musyrik sebelum mereka beriman. Dan sesungguhnya sese­orang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (Surah al-Baqarah ayat 221)

Anda tidak boleh mengharapkan perkara berkenaan berjalan dengan mudah. Ini kerana anda sendiri menyatakan calon suami itu penganut Kristian yang kuat.

Sememangnya Kristian agama dakwah (missionary). Tentu akan ada usaha dakwah dalam soal berkenaan. Sekiranya pegangan Islam tidak kuat, anda mungkin dipengaruhi atas sebab cinta atau pangkat dan sebagainya.

Adalah baik jika anda tidak mengharapkan sepenuhnya dia sebagai calon suami. Letakkan prinsip agama yang paling utama dalam memilih jodoh.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dinikahi seseorang wanita kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beroleh keuntungan.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Selain itu, faktor umur anda yang masih muda tentu mempunyai banyak lagi pilihan dan kesempatan yang lain. Mohon doa kepada Allah s.w.t supaya mendapat jodoh yang baik.




makbed berkata:

Kesian kat si tukang tanya ni. Patutnya Ibu tu bagi nasihat yang baik-baik bab cari jodoh ni. Nak pulak bakal menantu yang berkedudukan. Apa yang Ibu hajatkan, terpaksa anak tunaikan. Dan sekarang ni, si anak nak kahwin atas sebab apa?


Sesuatu perkara yang mulia didahului dengan NIAT yang serong, kesudahannya tidak membawa ke arah kebaikan. Itu yang aku belajar dan TENGOK SECARA LIVE selama aku hidup ni. 
Jadi, biar sekecil mana pun perkara baik yang kita nak buat, pasakkan dengan niat yang betul. 

Contoh niat tak betul (aku amik bab kawin la ye)..

  •  Nak kawin sebab nak lari dari kongkongan mak bapak. 
  •  Nak kahwin sebab kawan-kawan lain suma dah kahwin dan dia jeles.  Jadi takut dikatakan tak laku,  dia pun main sebat je sapa yang lalu, dan terus kawin. 
  • Nak kawin sebab nak bolot harta pusaka, atau harta pasangan sendiri. 
  • Nak kawin sebab nak buktikan kat ex-pakwe atau ex-gf anda actually dah LUPAKAN kisah silam anda dan sebagai signal yg anda tu masih laku walaupun tak jadi KAWIN ngan ex anda tu. 
  • Kawin sebab nak MENGANIAYA orang lain. Hmm.. yg ni kena pikir sniri la camne contoh nye.




Tu sebahagian je. 
Dan kesemua contoh tu pernah terjadi kat depan mata aku. 
Dan kesudahannya, takde satu pun berlansung dengan baik. 
Ada yang dah kawin pehtu finally tahu yang suami ada gepren lain. Yang ni TERLALU BANYAK! 
Yang kawin, pehtu dilanda masalah kewangan tak berenti-renti. 
Yang dah kawin pehtu tau yang suami sendiri pun kawin sekadar nak lepaskan syarat mak je.
Yang lagi sedih, dah kahwin, pehtu suami tinggal camtuh je. Nak tuntut fasakh , suami lak tak datang-datang ke mahkamah. Tak setel-setel sampai skang. 

Bagi rakan-rakan Makbed yang belum berkahwin, niatkan bebetul. Kita berkahwin kerana mahukan redha Allah. Kita mengikut sunah Nabi. KAhwin ini adalah fitrah. Semua orang MAHU kahwin. JAdi, jangan rosakkan keindahan perkahwinan tu dengan niat yang tak baik. Walaupun orang sekeliling tak tahu, yang menerima bala akibatnya adalah diri sendiri.


Dengan adanya niat betul, sekurang-kurangnya bila kita dilanda musibah dalam perkahwinan, kita akan kembali ingat NIAT asal kita mendirikan rumahtangga.

Dan itulah yang kekal sampai bila-bila.


Tolong jangan berbangga-bangga dengan diri kita yang sudah punya jodoh. 
Jangan berkata nista kepada mereka yang masih tidak berjodoh. Hormatilah mereka. 
Tak keluar peluh pun kalau kita doakan mereka even hanya dalam hati. 
TAkyah gitau orang tu pun "weh, aku tengah doa kat hang ni!" 
TAK PAYAH
Islam tu kan mudah.
Kita yang dah berjodoh, even aku skali pun, bila-bila je buleh berakhir.
Dan bagi yang belum bertemu jodoh tu, teruskan berdoa ye. Bersikap positif adalah yang terbaik. 
Buat masa skang, sediakan diri dulu.



Kalau suka entri aku ni sila angguk-angguk. HEE...
Terbebel plak!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Instagram

Instagram