Followers

28 Jul 2010

Zaman Kini Yang Mengelirukan

أَن كَانَ ذَا مَالٍ وَبَنِينَ , إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا قَالَ أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ
Ertinya : Kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak, lalu apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata: ""(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala.( Al-Qalam : 14-15 )

Ayat ni sangatlah sesuai untuk kehidupan moden dekad ini. Meskipun aku cuma insan biasa, kerja pun biasa-biasa bukan seorang peguam, doktor, usahawan, ahli perniagaan atau pun wanita-wanita elite yang berpakaian mahal atau berkasut tinggi berbeg tangan LV, aku masih memegang teguh nilai-nilai Islam yang diajar sejak dari kecil.Aku terpanggil untuk menyeru rakan-rakan wanitaku supaya tidak terlalu alpa dan bongkak dengan kejayaan bersifat duniawi kerana ia cuma sementara.


Tidak salah menggunakan kelulusan dan kejayaan untuk menuju ke jalan Allah. Berkelulusan tinggi biasanya menjanjikan upah gaji yang lumayan serta urusan hidup menjadi lebih mudah dengan adanya wang tanpa putus.Norma-norma kewanitaan Muslimah telah hilang. Wanita kini sebilangan besarnya telah lupa tujuan mereka diciptakan di muka bumi ini. Perasankah kita bahawa bilangan penceraian yang semakin tinggi kini berpunca dari kesilapan wanita sendiri secara umumnya?

 Mengapa saya berpendapat begitu?Di zaman perang Jepun dulu, anak gadis selalu sahaja diperkotak-katikkan. Tidak dibenarkan ke sekolah. Belajar sampai darjah 3 sahaja. Bila sampai umur baligh, si dara sunti ini dikahwinkan. Walaupun kahwin awal, jarang ada yang bercerai berai. Pejabat Mahkamah Syariah pun tidak penuh dengan fail-fail tuntutan fasakh atau tuntutan nafkah anak.Kini, makin tinggi si anak-anak belajar sampai ke luar negara, tapi bilangan kes penceraian boleh dikatakan sama hebat dengan bilangan pelajar yang graduate dan juga bilangan pelajar yg menganggur. Betul? Di manakah silap? Adakah sistem pendidikan kita menjadi penyumbang meningkatnya kes-kes keruntuhan rumahtangga di kalangan golongan muda? Atau adakah kerana cuma kejahilan diri masing-masing?

Kerana Kaum Hawa kini merupakan penyumbang besar kepada ekonomi negara, dan gaji kaum ini hebat-hebat belaka (berkat usaha dan penat lelah belajar sehingga tamat) maka Kaum Adam pula yang sejak-sejak diperkenalkan Persatuan Mat Rempit yang cawangannya penuh di merata-rata mukim, kurang memberangsangkan prestasinya. Justeru, si lelaki lebih suka 'bersyukur dengan apa yang ada' dan si perempuan 'berusaha selagi terdaya'. Terbalik sudah kan?
 .
Kemudian, akan muncul isu Hantaran Tinggi. Kata si ibu dan bapa yang penat membesarkan anak dari tali pusat belum kering, layaklah meminta wang belanja, mas kawin dan hantaran setingga puluhan ribu kerana anak perempuan dia belajar sehingga Amerika Syarikat! Takkan nak minta 2 ribu sahaja? Apa kata orang kampung?Bila ditegur dikatakan INI ZAMAN MODEN. Belanja nikah kahwin kini semakin mahal maka wajarlah meminta hantara setinggi itu dari pihak lelaki. Dulu-dulu bolehlah maskahwin senaskah Al-Quran dan sepasang baju besi. Nak bagi makan dengan menda tu ke? Kata si waris dan wali.

Wah, bukan main hebat mempersoalkan sunah Nabi sedangkan diri itu tidaklah setinggi mana ilmunya. Kasihan si bujang itu, terpaksa telan air liur saja melihat gadis pujaannya disambar Pak Datuk berambut putih yang memandu kereta mewah, dan sudah beristeri pula! Atau, si bujang enggan berputus asa, dia yang gajinya tidak seberapa cuba meminjam bank atau Along. Nah......... Bukankah ini sudah menunjukkan bibit-bibit masalah sosial yang seterusnya?
 
Maka, katalah si Bujang berjaya menikahi si gadis berkelulusan tinggi hasil duit pinjaman bank, kenduri dibuat besar-besar. Pinjaman ribuan ringgit jadi tidak berbaki sehingga mahu memulakan hidup baru pun menggagau mencari wang. Ambil masa setahun dua lah mahu stabilkan istitusi kewangan keluarga. Mujurlah si Isteri bekerja dan gajinya pun boleh tahan. Tiba rezeki Allah nak bagi, pasangan itu dikurniakan cahayamata. Masa ini barulah si Isteri terasa terbeban. Mana nak cekau masa menguruskan rumahtangga, dengan anak yang masih kecil dan kerjaya yang menuntut fokus yang jitu. Kalau tidak ada persefahaman, memang boleh bergaduh dibuatnya. Apa tidaknya, Isteri baring di katil, Suami baru gentel telinga si Isteri dah berdengkur. Letih.....

 Hakikatnya, walaupun anak boleh diambil alih oleh TASKA atau pengasuh, tiada siapa boleh nafikan yang kasih sayang Ibu sendiri lebih afdhal bagi membesarkan anak yang baik.

 Bab aurat jangan ditegur. Bila disuruh bertudung dan berpakaian sopan, si Isteri tarik muka. Tidak moden dan tidak sesuai dengan jawatannya sebagai Pengurus di bironya. Dia perlu kelihatan anggun dan menarik di pejabat.Si Suami cuma diam. Tidak mahu mencetuskan huru-hara. Dalam hati dia bukannya mahu Isteri berpurdah. Sedikit pun tidak dihalang mahu bercantik-cantik, dia pun tumpang suka melihat isterinya cantik begitu, tapi menutup aurat kini bukannya susah. Sudah banyak tudung berfesyen terkini yang cantik dan anggun. Malah lebih anggun dan ayu daripada berskirt paras lutut dan berbaju kemeja singkat menampakkan punggung dan berbutanag tak habis menampakkan dada. Susah betul kalau nak menyeru ke arah kebaikan ni.

Hm... suami sudah semakin stabil kewangannya. Sudah naik pangkat. Meskipun tidak mampu melawan gaji si Isteri yang berkelulusan luar negara itu, tetapi dengan jumlah anak yang semakin meningkat jumlahnya, si suami lebih suka jika Isteri sendiri yang menguruskan anak-anak hasil perkahwinan mereka. Lagipun dia kasihan melihat Isteri yang keletihan. Anak-anak pun tidak terurus. Maka, Suami pun menyuarakan permintaan agar Isteri berhenti kerja.Wah, bertegang-urat! Habih semua zaman silam punya diungkit. Mana datangnya duit belanja kahwin dulu kalau tidak dari wang hasil kerja si Isteri. Benar-benar tidak mahu kehilangan jawatan dan bimbang dilabel 'surirumah sepenuh masa' yang mana kerjaya itu memang tidak profesional lansung. Tidak boleh lagi berhias cantik dan terpaksa duduk di rumah sahaja. TIDAK MAHULAH, kata si Isteri. Biar sahaja anak dijaga pembantu rumah. Padahal, anak tu sekarang sudah berbahasa Indonesia bila bercakap dengan ibu bapanya!

Si Suami pening. Si ISteri berkeras tidak mahu berhenti. Tak cukup dengan bertegang-urat sesama sendiri, si Isteri me'roger' mak bapak dia pula sebagai back-up. Si Emak pula menambah, bukan mahu menolong menyelesaikan masalah."Jangan berhenti. Sia-sia sahaja belajar tinggi-tinggi sampai ke US, kamu nak duduk di rumah sahaja? Mengabihkan duit aku ja hantar kamu belajar jauh-jauh. Nanti apa kata saudara-mara? Ada PHD tapi duduk di rumah. Kamu kena jadi contoh kepada adik-adik, sepupu-sepupu, anak makcik tu dan makcik ni.... Kamu bukannya lepasan SPM nak oiii.................! Cuba fikir. Bekerja ni bukan untuk suka-suka. Bayangkanlah kamu kalau kena tinggal dengan laki besok2, sekurang-kurangnya kamu ada kerja. Tidaklah kamu jadi ibu tunggal tanpa kerja. BErani kamu mahu berhenti?" bebel si Emak, padat dan tepat.

 Bila si Suami mempertahankan pendapatnya, mahu si Isteri duduk di rumah dan menjalankan tugasnya sebagai isteri solehah, si Emak menjawab lagi. "Orang dulu-dulu bolehlah macam tu! Sekarang ni zaman dah moden."Kesudahannya, si Isteri tetap dengan keputusannya mahu teruskan bekerja. Patuh kepada si Emak. Si Suami rasa terhina kerana isteri sendiri tidak mahu menurut kata. Maruahnya sebagai suami tercalar kerana tidak berdaya menyuruh isteri menutup aurat. Si Isteri terus-terusan bangga diri dengan dirinya yang 'moden' tanpa menyedari saat-saat kehidupannya makin menghampiri neraka.Kenapa si Emak lebih mementingkan masa depan 'yg kalau kau diceraikan suami nanti macam mana?' sedangkan sepatutnya si Emak berpesan agar si anak mematuhi suruhan suami selagi tidak bertentangan dengan Hukum Allah.Inilah yang berlaku di zaman serba moden ini. Sama-samalah kita renungkan agar kita tidak berjalan di bumi Allah sebagai hamba yang bongkak dan sombong.

Sila refer ayat di atas semula.


Blogger Templates
Blogger Templates
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Instagram

Instagram